Pengenalan:
Dewasa ini, pilihan kerjaya yang bersesuaian dengan minat dan bidang yang dipelajari semasa di peringkat pengajian menengah dan pengajian tinggi menjadi keutamaan kepada semua pelajar. Namun begitu, keadaan semasa dan ekonomi dunia turut memerlukan bakal pekerja yang kompetitif dalam bekerja dan mempunyai pelbagai kemahiran yang diperolehi secara formal dan tidak formal. Oleh yang demikian, DSMZ Academy mensasarkan untuk menganjurkan Seminar Kerjaya Millenial sebagai memenuhi kehendak pelajar dan agensi pekerjaan.
Seminar Kerjaya Millenial ini merupakan satu medium yang baik bagi mendedahkan pelajar ke alam pembelajaran di peringkat yang lebih tinggi seperti Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan bidang kerjaya semasa. Perkongsian dan maklumat terkini dari alam pendidikan ke alam kerjaya dapat membantu pelajar bersedia dengan lebih baik untuk mengharungi kehidupan selepas alam pembelajaran. Pelajar juga akan diberi pencerahan tentang bidang pengajian yang perlu diberi perhatian serta memberi bimbingan tentang hala tuju kerjaya di Alaf Ke-21.
Matlamat:
Program ini dijangka dapat memberikan pendedahan awal tentang peluang melanjutkan pelajaran dalam bidang yang diminati dan maklumat berkaitan kerjaya-kerjaya yang ingin diceburi oleh para pelajar.
Objektif:
Memberi pendedahan kepada pelajar tentang bidang yang perlu diberi perhatian sebagai persediaan masa depan.
Memberi pendedahan kepada mereka yang berminat tentang peluang, kerjaya-kerjaya baharu dan relevan untuk jangka masa 4-5 tahun lagi.
Mengenal pasti kecenderungan dan kesesuaian personaliti dengan pengajian dan kerjaya yang diidamkan.
Memberi pencerahan tentang bidang pengajian yang perlu diberi perhatian serta memberi bimbingan tentang hala tuju kerjaya di Alaf Ke-21.
Sasaran peserta:
Pelajar-pelajar tingkatan 4 & 5, ibubapa dan guru sekolah